𝚃𝙴𝚁𝙳𝙰𝙼𝙿𝙰𝚁 𝙷𝙸𝙽𝙶𝙶𝙰 𝙺𝙴 𝚂𝚄𝙼𝙷𝚄𝚁𝙰𝙼


 

      Saya memulakan pembacaan ringkas dan santai setiap hari sebelum hendak melakukan sebarang tugas ataupun sebelum bergerak masuk ke bilik kuliah. Ini adalah sebahagian daripada koleksi pembacaan saya bertemakan pengembaraan yang sarat dengan pelbagai kisah dongeng dan kaya dengan unsur moral. Agaknya saya menjadi seseorang yang suka berimaginasi dan berjiwa halus adalah mungkin disebabkan oleh minat saya yang gemar membaca. Bagi seorang bibliofil seperti saya, saya yakin para bibliofil di luar sana juga turut memahami apa yang saya rasai sekiranya saya memulakan hari saya tanpa membaca sebarang bahan bacaan langsung walaupun hanya satu lembaran sahaja. Rasa seperti hari itu tidak lengkap dan sempurna, bukan?

   Saya mengagumi sikap sesetengah individu yang gemar membaca. Malahan, pembacaan itu juga turut meluaskan lagi perspektif mereka serta mencetuskan idea dan gagasan yang konstruktif. Ya, saya akui bahawa adakalanya saya sedikit ralat untuk sentiasa kekal berdisiplin dalam mematuhi masa. Namun begitu, saya tetap konsisten untuk melakukan apa yang saya minati sehingga kini.

     Novel Terdampar karya Jorn Riel, seorang penulis dari negara Denmark jelas sekali telah berjaya membubuhkan intipati kebudayaan dan suasana kehidupan orang Inuit dengan cara yang cukup memukau. Tambahan pula, novel yang diterbitkan pada tahun 1979 ini memaparkan watak utama dalam novel ini iaitu Leiv Steirnusson dan saudaranya, Thorstein mengharungi pengembaraan yang luar biasa meskipun ada perseteruan antara mereka berdua dan dendam yang tidak terlunas. Usai sahaja saya melengkapkan misi ‘mengembara’ bersama mereka, akhirnya saya terdampar nun jauh di Sumhuram.

    Kisah dongeng dari Sumhuram ini ternyata juga membuatkan saya tertarik dengan variasi kisah dongeng yang dihimpunkan dalam buku tersebut. Sama seperti novel Terdampar, buku ini juga turut dilengkapkan lagi dengan pelbagai ilustrasi yang diletakkan dalam setiap bab. Mitos, legenda dan dongeng yang terdapat dalam setiap cerita yang dikarang Emire Khidayer nyata menggalakkan para pembaca untuk menyelami dan meneroka warisan-warisan yang ada di negara Oman.        

    Saya amat berharap agar karya-karya sastera sebegini kekal hidup, bersifat malar segar dan sentiasa mendapat tempat dan permintaan dalam kalangan masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana, fungsi karya sastera bukan sahaja untuk membina modal insan semata-mata, bahkan turut berfungi sebagai salah satu wahana dalam memperkenalkan, memelihara dan memulihara perbendaharaan warisan atau khazanah sesuatu bangsa ataupun negara.  

    

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

𝙱𝙴𝙽𝙶𝙺𝙴𝙻 𝙿𝙴𝙽𝙴𝚁𝙱𝙸𝚃𝙰𝙽 𝙱𝚄𝙺𝚄 𝙹𝙴𝙹𝙰𝙺 𝚃𝙰𝚁𝙱𝙸𝙰𝙷 𝚡 𝚂𝚃𝚄𝙳𝙸𝙾 𝙱𝚄𝙺𝚄

𝓖𝓸𝓻𝓮𝓼𝓪𝓷 𝓦𝓪𝓻𝓷𝓪