𝙱𝙴𝙽𝙶𝙺𝙴𝙻 𝙿𝙴𝙽𝙴𝚁𝙱𝙸𝚃𝙰𝙽 𝙱𝚄𝙺𝚄 𝙹𝙴𝙹𝙰𝙺 𝚃𝙰𝚁𝙱𝙸𝙰𝙷 𝚡 𝚂𝚃𝚄𝙳𝙸𝙾 𝙱𝚄𝙺𝚄



 

Kelas penerbitan buku anjuran Jejak Tarbiah bersama-sama dengan Studio Buku pada 19 Disember, tepat pada hari Sabtu, merupakan salah satu pengalaman yang tidak akan kami lupakan. Semuanya bermula apabila pada suatu hari, sedang saya ligat mencari buku di perpustakaan ATMA, Puan Saadiah bertanya melalui WhatsApp sekiranya saya berminat untuk menyertai kelas tersebut. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal. Rasa gembira dan keterujaan hati kian bertambah apabila Puan Saadiah memberi peluang untuk saya mengajak seseorang yang juga berminat untuk menyertai kelas tersebut. Semestinya, saya mengajak Hakimi untuk turut menyertai saya menimba ilmu dan pengetahuan asas tentang bagaimana ptoses untuk menerbitkan buku.

      Kami berdua pergi bersama-sama ke teratak Jejak Tarbiah yang jarak lokasinya tidak terlalu jauh dari UKM Bangi. Sebenarnya, semangat saya yang pada awalnya berkobar-kobar sejak beberapa hari sebelum kelas itu bermula, menjadi sedikit kurang. Hal ini disebabkan oleh sehari sebelum kelas itu bermula, saya alami kecederaan pada kaki kanan saya, terseliuh disebabkan saya sendiri tersilap langkah ketika menuruni tangga di fakulti untuk menuju ke HEP-UKM ketika itu. Sehingga saat ini, saya masih bertanya-tanya bagaimana saya boleh tersilap langkah sedangkan saya amat berhati-hati dan menumpukan perhatian ketika sedang menuruni tangga tersebut. Tidak mengapalah, barangkali ketika itu Allah ingin menguji saya.

       "Ya Allah, kuatkan langkah kakiku sebagaimana Engkau menguatkan hati aku selalu. Kurniakanlah kepada diriku, dan kepada kami segenap kelapangan dari setiap ruang untuk menimba ilmu." Getus hatiku. Alhamdulillah, syukur kepada hadratNya, segala apa yang kami lalui menjadi serba mudah pada hari itu.

        Sesi pertama kelas secara hands-on dan teori bermula dengan penyampaian daripada Puan Saadiah selaku pengasas Jejak Tarbiah. Beliau telah menceritakan sedikit sebanyak tentang perkembangan Jejak Tarbiah, yang bermula sebagai sebuah komuniti buku di UKM suatu ketika dulu, kemudian menjadi sebuah kembara pelancongan, dan akhirnya mendorong kepada kewujudan entiti syarikat Jejak Tarbiah pada Julai 2021. Saya melihat bahawa Jejak Tarbiah yang berpegang kepada visi 'Memasyarakatkan Ilmu dan Budi', secara jelas telah memberikan satu keunikan yang tersendiri dengan komitmen yang progresif dalam menggapai visi tersebut. Buku-buku yang telah diterbitkan oleh Jejak Tarbiah  yakni menjadi medium utama dalam menggalakkan masyarakat untuk membaca dan terus membaca, seterusnya mencetuskan suatu impak positif untuk merangsang pemikiran masyarakat di samping turut menjadi satu bentuk dorongan kepada masyarakat untuk memupuk nilai-nilai moral dalam segenap lapisan kehidupan.

         Bukan setakat itu sahaja, Puan Saadiah juga turut membawa para peserta yang hadir untuk bersiar-siar sekitar bangunan Jejak Tarbiah, mengenal setiap ruang kerja dan mempelajar dan memahami fungsi setiap struktur organisasi yang menggerakkan dan memacu perkembangan Jejak Tarbiah sehingga kini. Setelah itu, Puan Saadiah turut memberi peluang kepada kami untuk mengambil buku-buku yang pada pandangan kami ada layout (reka bentuk) yang cantik dan tajuk buku yang mampu menarik minat orang untuk membelinya. Setiap peserta juga turut berpeluang untuk melontarkan pandangan tentang setiap buku yang telah kami pilih.


Buku-buku terbitan Jejak Tarbiah yang kami pilih semasa sesi 1.

Sesi kedua pula telah disampaikan oleh Puan Mazniza Md Nor dari Studio Buku. Pengalaman beliau sebagai seorang editor setelah bekerja di tiga buah syarikat penerbitan buku membuatkan saya merasakan bahawa seperti mana profesion kerjaya lain di luar sana, kerjaya sebagai seorang editor bukanlah sesuatu yang mudah dan tidak sepatutnya dipandang enteng. Kita hanya mengetahui sekelumit sahaja daripada kesuluruhan skop kerja editor, hanya tahu tugas seorang editor hanyalah untuk membuat penyuntingan dan pruf. Bagi saya, mereka yang bergelar editor wajar diberikan penghargaan yang tinggi kerana mereka adalah orang di sebalik tabir yang menjamin penerbitan buku yang berkualiti, sebagai bentuk berbakti kepada masyarakat dalam aspek pendidikan. Sepanjang sesi kelas bermula, setiap peserta juga turut dibekalkan dengan bahan-bahan kelas sebagai rujukan asas. Puan Saadiah turut berkata bahawa ilmu itu hendaklah dikongsi agar dapat memberi manfaat kepada setiap individu, syaratnya hanya satu ; dalam apa-apa sahaja kerjaya, jangan manja! Inilah satu bentuk nasihat yang merupakan peringatan buat kami khususnya kepada saya dan Hakimi sebagai orang muda bertanggungjawab untuk sentiasa memberikan sepenuh tumpuan dan menyumbang dengan sepenuh kemampuan agar dapat berkembang maju.




Bahan-bahan kelas yang kini menjadi panduan asas dan rujukan untuk memahami selok-belok dunia penerbitan dalam industri perbukuan.


Sesi bergambar peserta Kelas Penerbitan Buku Jejak Tarbiah dan Studio Buku





      

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

𝚃𝙴𝚁𝙳𝙰𝙼𝙿𝙰𝚁 𝙷𝙸𝙽𝙶𝙶𝙰 𝙺𝙴 𝚂𝚄𝙼𝙷𝚄𝚁𝙰𝙼

𝓖𝓸𝓻𝓮𝓼𝓪𝓷 𝓦𝓪𝓻𝓷𝓪